Saturday, February 26, 2011

Khasiat makan bersama

1.Boleh merapatkan hubungan kekeluargaan, malah ada kajian menunjukkan amalan ini mempunyai banyak manfaat, terutama daripada segi kesihatan. Dalam kajian terbaru, anak berumur lima hingga 12 tahun menghidap asma mendapati, interaksi antara ibu bapa dan anak ketika makan boleh meningkatkan tahap kesihatan mereka.

2.Selain itu, banyak kajian lain menunjukkan makan bersama boleh merangsang komunikasi dan hubungan antara ahli keluarga. Walaupun kebanyakan orang menganggap bercakap ketika makan kurang sopan, ini antara masa anak berasa selamat, selesa, mesra dan sangat rapat dengan ibu bapa.
 
3. Makan bersama juga ibu bapa boleh menunjukkan teladan baik kepada anak, khususnya mengenai tabiat pemakanan, adab di meja makan dan kemahiran berkomunikasi. Pastikan waktu makan adalah waktu tenang dan penuh ceria. Elak mengkritik anak dengan cara negatif kerana anak akan meniru perlakuan ditunjukkan ibu bapa.

4.Kebanyakan kanak-kanak memang cerewet dalam soal makan, terutama membabitkan pengambilan sayur-sayuran. Apabila makan bersama, anda boleh menerangkan kebaikan sayur-sayuran dan sedikit sebanyak mereka akan terdorong untuk mencuba jika ibu bapa mengamalkan pemakanan seimbang.
 
 5.Makanan disediakan di rumah biasanya lebih sihat dan berkhasiat kerana anda boleh mengawal penggunaan lemak, garam dan gula.
Pada masa sama, jika anak anda ada gejala alahan, makan bersama adalah cara terbaik untuk mengetahui jenis makanan yang dia alah supaya ia boleh dielakkan pada masa depan.

6.Ketika ini juga ibu bapa boleh mengawal pemakanan anak, terutama bagi yang mengalami masalah berat badan berlebihan. Individu yang makan sendirian di depan televisyen akan terdorong untuk makan melebihi keperluan harian yang boleh menyebabkan mereka menjadi gemuk.

7.Kajian juga menunjukkan makan bersama dapat mengelak anak, khususnya remaja, daripada terjebak dengan perlakuan merosakkan seperti merokok, minum minuman keras atau menagih dadah.
Kekerapan makan bersama membolehkan ibu bapa mengesan sebarang perlakuan atau tanda ganjil yang ditunjukkan anak.

8.Remaja yang makan bersama ibu bapa sekurang-kurangnya empat kali seminggu didapati menunjukkan pencapaian akademik lebih baik berbanding yang hanya makan bersama ibu bapa satu atau dua kali seminggu.

9.Malah, penyelidik mendapati remaja yang makan bersama ibu bapa mempunyai kecenderungan untuk mengambil sayur-sayuran, buah-buahan dan kurang minum minuman ringan apabila dewasa.

Makanan Kaya Protein Memiliki Protein Tinggi

Makanan kaya protein akan mempunyai keseimbangan asid amino. Asam amino pada makanan protein tinggi adalah membina tubuh anda dan sangat penting untuk kesihatan anda.

Tapi tanaman ladang dimakan bersama , seperti beras dan kacang-kacangan, menyediakan profil lengkap makanan yang kaya protein.
Tanaman ladang seperti biji-bijian, kacang-kacangan, kacang, biji-bijian dan sayur-sayuran merupakan sumber protein yang tidak lengkap kerana mereka masing-masing kurang satu atau lebih asid amino esensial.
Makanan protein tinggi, seperti daging, ikan, unggas, telur, produk susu dan soya, dianggap sumber lengkap protein tinggi, kerana mereka mempunyai semua sembilan asid amino esensial.
Ada 22 asid amino yang berbeza ditemui dalam senarai lengkap makanan protein tinggi. Tubuh yang sihat secara semulajadi boleh menghasilkan lebih dari setengah dari 22 asi amino. Namun, ada sembilan asid amino esensial yang tubuh anda tidak boleh mensintesis.
Asid  amino seimbang adalah penting untuk membina dan memperbaiki otot, kulit dan jaringan organ.

Itulah sebabnya mengapa sembilan ini disebut asid amino esensial - Anda perlu mendapatkannya dari makanan yang anda makan. Jadi penting untuk makan makanan yang high protein yang terbaik dalam diet protein tinggi.

Mereka membantu anda melawan jangkitan dan membawa oksigen yang diperlukan seluruh aliran darah anda. Bahkan, di samping air, protein adalah unsur yang paling menonjol dalam tubuh manusia. Mengapa Anda Perlu Makanan Kaya Protein

Thursday, February 24, 2011

 Seorang pengamal urutan tradisional dari Utara tanah air, Baharom Yunus berjaya mengenal pasti kaedah lebih berkesan bagi tujuan mengurut. Yunus yang mesra dikenali sebagai Pak Jang menjelaskan, penggunaan tanduk seladang betina serta beberapa peralatan lain.

Khasiat tanduk seladang

Pak Jang menambah, urutan menggunakan jari-jemari sahaja kurang praktikal berbanding penggunaan peralatan khas yang dibuat sendiri atau dibeli.
Katanya tanduk seladang betina yang diperoleh dari Indonesia digunakan dalam teknik urutannya yang dikajinya sejak 20 tahun lalu.
“Sebelum mengurut saya akan menggunakan jari-jemari yang bertindak seperti alat 'pengimbas' untuk mengenalpasti anggota badan yang mengalami masalah urat.
Selalunya bahagian yang mempunyai banyak benjolan merupakan kawasan yang perlu diberi perhatian.


“Peralatan seperti tanduk seladang betina yang dibentuk seperti sudu digunakan bagi memecahkan bahagian saluran tersumbat yang berpunca daripada darah beku, lemak dan angin dengan bantuan minyak khas.
“Selagi terdapat permukaan tidak rata maka selagi itulah urutan dibuat. Apabila saluran bermasalah dirungkai dengan betul, aliran darah akan mengalir secara normal kembali,” katanya sambil mengurut seorang pelanggan menggunakan teknik tanduk seladang betina di Pondok Rawatan Nusantara (PRN) di Sungai Petani, Kedah.
Namun, bagi mereka yang tidak mahir dengan teknik berkenaan, dia menyarankan agar tidak sesekali mencubanya kerana khuatir boleh memudaratkan pesakit.
Paling penting katanya, urutan mesti sesuai dengan kaedah, tempat, kemampuan serta sensitif pada bahagian yang tidak boleh diurut.
Jelas lelaki yang kini menjangkau usia 63 tahun itu, teknik urutan yang diamalkannya seakan-akan terapi guasa dari China tetapi ia tidak terlalu ekstrem sehingga boleh meninggalkan garisan merah pada tubuh pesakit.
“Bagaimanapun, bahagian paling sakit dalam teknik ini apabila saluran darah tersumbat ditekan, tetapi kesannya selepas itu memang tidak sakit malah ada pesakit yang dipimpin sebelum rawatan mampu berjalan sendiri selepas diurut,” katanya.
Akuinya, setakat hari ini teknik berkenaan hanya boleh didapati di PRN sahaja malah dia menggunakan kira-kira 15 peralatan mengurut lain mengikut kesesuaian pesakit.
Antaranya, batu marmar yang dicanai khas, tanduk kerbau, tanduk seladang jantan, rotan, batu sungai dan tumbang kambing.
“Urut sepatutnya dilihat sebagai satu perubatan pencegahan dan sepatutnya dilakukan secara kerap. Ia sangat baik mencegah penyakit daripada menjadi lebih teruk seperti migrain, strok, lemah jantung, kebas, sengal-sengal selain bertujuan penjagaan kesihatan,” katanya.

Urut auta

Tegas Pak Jang, urutan yang dipraktik sejak sekian lama bukannya ‘auta’ kerana ia betul-betul teknik mengurut dan sentuhannya memang sampai ke urat malah mendapat pujian daripada pelanggan kerana teknik yang sememangnya berbeza dengan urutan dengan hanya menggunakan tangan.
Lebih menarik, Pak Jang yang sebelum ini pernah menderita penyakit jantung kronik mampu berulang-alik dari kediamannya di Permatang Pauh, Pulau Pinang ke PRN, Sungai Petani setiap hari kecuali Jumaat.
Sementara itu, bagi pengasas PRN, Roslan Mat Isa, 41, memberitahu, penggunaan kira-kira 15 peralatan mengurut itu lebih berkesan dan mampu menyembuh bahagian bermasalah secara terperinci.

 “Kalau menggunakan tangan semata-mata, keupayaan mengurut adalah terbatas kerana kekuatan manusia ini bukanlah kuat sangat. Kalau nak tekan dengan jari sahaja memang tidak terasa dan jika terasa sekalipun mungkin sekejap sahaja lepas itu kembali tidak selesa,” ujarnya.
Bukan itu sahaja, di PRN mereka menggunakan pelbagai minyak bagi tujuan urutan. Antaranya, minyak kelapa dara, minyak bijan, minyak matahari, minyak zaitun dan minyak yang dimasak dengan ramuan sendiri.
Jelasnya, dengan bantuan Pak Jang serta tujuh orang tukang urut secara sambilan konsep urutan yang diperkenalkan PRN kini semakin berkembang dan diterima orang ramai kerana ia memberikan kepuasan maksimum.
Selain pendedahan ilmu urutan daripada Pak Jang, Roslan terlebih dahulu mengikuti kursus pelbagai jenis rawatan di Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda), pusat perubatan swasta serta beberapa tempat lagi.
“Sebelum khidmat Pak Jang di pondok rawatan ini, saya juga mempunyai alat mengurut sendiri. Bagaimanapun, dengan kemasukan Pak Jang ke sini menjadikan rawatan lebih kemas,” katanya yakin.
Seorang pelanggan, Harun Hussain memberitahu, walaupun pertama kali dirinya membuat rawatan urut di PRN, tubuhnya begitu segar malah masalah di bahagian bawah lututnya semakin pulih setelah diurut menggunakan tanduk seladang betina.
Memang apabila urat ditekan pada ketika itu terasa sedikit sakit, tetapi dalam tempoh beberapa minit kesakitan itu beransur hilang,” katanya.

Keliru buasir atau kanser

                                                              

Dr. Yunus Gul

BUASIR merupakan masalah biasa masyarakat moden kini. Dikatakan separuh daripada jumlah populasi berhadapan dengan masalah ini.
Buasir merupakan kusyen vaskular yang bertindak sebagai penghadang setiap kali membuang air besar.
Ia akan menutup dubur secara menyeluruh dengan lembut bagi mengelakkan kebocoran najis ataupun cecair.
Ia merupakan komponen normal dalam anatomi manusia.
Masalah timbul apabila berlaku pembengkakan pada kusyen vaskular akibat tekanan atau stres yang diberikan pada rektum berikutan aktiviti meneran.
Keadaan ini akan mengakibatkan pesakit berasa kurang selesa.
Faktor yang menyebabkan buasir atau hemoroid membengkak masih tidak jelas dan berbeza mengikut pesakit.
Bagaimanapun, tidak dinafikan bahawa ia berpunca daripada peneranan melampau ketika membuang air besar, pemakanan yang tidak sihat, kurang bersenam, faktor usia yang melemahkan tisu dan semasa mengandung ekoran perubahan hormon.
Sakit
Simptom utama penghidap buasir adalah pendarahan pada hujung proses membuang air besar yang boleh dilihat pada najis, kadangkala menitik dan juga ketika mencuci.
Selain itu, pesakit akan merasakan terdapat lebihan isi atau kulit yang tersembul di luar lubang dubur yang mendatangkan rasa kurang selesa, gatal dan sakit. Tetapi tidak semua pesakit buasir akan berasa sakit.
Menurut Pakar Bedah Kolorektal, Pusat Perubatan Prince Court, Prof. Dr. Yunus Gul Alif Gul, ramai pesakit yang tidak mengendahkan untuk mendapat rawatan.
“Apa yang membimbangkan adalah simptom buasir menyamai simptom kanser kolorektal atau gabungan kolon dan rektum iaitu pendarahan.
“Namun, pendarahan bagi pesakit kanser kebiasaannya keluar bersama najis dan kadangkala diselangi dengan lendir,” katanya.
Oleh itu, bagi mereka yang mempunyai masalah pendarahan ketika membuang air besar, seelok-eloknya berjumpa doktor bagi menentukan masalah sebenar.
Apabila pesakit sudah mendapat diagnosis buasir, doktor akan memberi nasihat supaya menukar diet dan juga gaya hidup seperti tidak terlalu meneran semasa membuang air besar, mengurangkan pengambilan daging merah, memperbanyakkan pengambilan serat dan buah-buahan serta minum banyak air.
Bagaimanapun, menurut Yunus, gaya hidup masyarakat kini seperti pelajar di asrama dan suami isteri yang bekerja cenderung membeli makanan di luar.
“Pengambilan makanan segera ataupun makanan yang telah diproses juga boleh mendatangkan kemudaratan.
“Seeloknya pastikan makanan yang hendak dibeli itu segar dan berkhasiat.
“Mereka yang gemar membaca di dalam bilik air juga boleh mendapat buasir kerana mereka berada dalam kedudukan duduk atau mencangkung yang secara tidak langsung melibatkan peneranan walaupun proses pembuangan najis telah selesai.
“Ia secara tidak langsung memberikan tekanan pada rektum menyebabkan tisu-tisu yang menyokong menjadi lemah,” ujarnya.
Ramai pesakit memilih perubatan tradisional bagi mengubati buasir ekoran malu berjumpa doktor dan takut menjalani pembedahan.
Ramai yang lebih suka untuk bertanya kepada rakan-rakan, ahli farmasi ataupun pengamal perubatan tradisional mengenai ubat-ubatan yang sesuai berbanding mendapat rundingan doktor.
Alternatif
Yunus memberitahu, tiada salahnya bagi pesakit untuk mencuba perubatan tradisional seperti pengambilan herba asalkan mereka tahu penyakit mereka berada di tahap mana.
“Jika buasir berada di tahap satu atau dua, tiada salahnya mereka mencuba perubatan alternatif kerana tahap ini boleh diubati dengan pengambilan ubat sahaja.

Perbedahan dapat memulihkan masalah Buasir


“Namun, jika sudah kritikal, mereka tiada pilihan kecuali melakukan pembedahan membuang buasir tersebut,” katanya.
Mungkin ramai yang memilih perubatan alternatif kerana takut menjalani pembedahan yang dikatakan amat menyakitkan.
Bagaimanapun, teknologi baru membolehkan pembedahan dilakukan tanpa kesakitan melampau dan pulih dalam masa yang sangat singkat.
Ini termasuk ligasi pita getah menggunakan satu atau dua pita getah yang kecil yang akan diikat di sekitar dasar buasir dalaman untuk menghentikan pengedaran darah.
Dalam masa beberapa hari, buasir itu akan tertanggal sendiri tanpa rasa sakit.
Kaedah Ligasi Arteri Buasir (HAL) pula menggunakan alat ultrabunyi Doppler yang dimasukkan ke dalam anus untuk mengenal pasti lokasi sebenar arteri yang membekalkan darah.
Oleh kerana jahitan tidak dilakukan di dalam anus sebaliknya di hujung rektum, ia mengurangkan kesakitan.
Manakala Longo atau Procedure for Prolapse and Haemorrhoids (PPH) merupakan antara kaedah terbaru yang menggunakan sejenis alat seperti stapler.
Prosedur ini mengambil masa hanya 20 minit dan tiada luka yang perlu dirawat selepas prosedur dijalankan.